Wednesday, January 20, 2010

SELANGOR mahu PAKATAN RAKYAT bukan "Juara Rakyat"

Sumber: Ar-Risalah. Terbitan Lajnah Penerangan PAS Negeri Selangor. Bil. 01/10

Pada 8 Mac 2008 lalu rakyat Selangor telahpun bersuara. Mereka telah sebulat suara menolak Umno dan BN dan menobatkan sebuah kerajaan baru untuk memerintah mereka. 50 tahun di bawah pimpinan Umno/BN di Selangor telah menjadikan rakyat Selangor serik dan bosan. Mereka bangkit membuat perubahan.

50 tahun Umno/BN telah memungkiri amanah yang diberikan oleh rakyat Selangor. 50 tahun mereka menyalahgunakan kuasa yang diberikan oleh rakyat. 50 tahun mereka meminggirkan rakyat kerana mengejar agenda dan kepentingan peribadi masing-masing. 50 tahun mereka memunggah harta kekayaan negeri. 50 tahun rakyat tertipu. 50 tahun rakyat dikaburi.

Rakyat Selangor tidak akan lupa pimpinan yang telah memperkosa kepercayaan yang diberikan oleh rakyat. MB Selangor pernah disabitkan kesalahan rasuah dan dipenjarakan. MB ditahan di luar negara dengan wang tunai berkilo-kilo. EXCO diseret ke mahkamah. EXCO dikenakan notis muflis. Wakil Rakyat yang menggunakan kedudukan untuk kepentingan anak-beranak dan kaum keluarga. Wakil rakyat yang mungkar. Rakyat tidak lupa.

Siapakah yang mengeluarkan arahan mengubah kuil di Shah Alam beberapa hari menjelang Deepavali? Siapakah yang telah merobohkan Surau Jubli Perak di Bandar Baru Bangi walaupun ahli-ahli kariah merayu dan memohon belas ihsan?

Siapakah yang telah memperalatkan masjid dan surau untuk kepentingan politik? Nazir dan AJK masjid serta surau ditentukan oleh parti politik tanpa memberi hak kepada ahli-ahli kariah untuk membuat pilihan. Siapakah yang telah memecat Mufti? Siapakah yang telah menghalang ulamak-ulamak besar seperti Dato' Dr Haron Din dan Dato' Ismail Kamus dari berceramah dan berdakwah di masjid-masjid dan surau-surau?

Kini mereka kembali dengan slogan "Juara Rakyat". Mereka mendakwa merekalah kononnya juara yang membela dan menjaga kebajikan rakyat. Merekalah yang kononnya prihatin pada nasib rakyat. Sedangkan hakikatnya merekalah yang telah mengecewakan rakyat selama ini.

Di Selangor, rakyat tidak akan termakan slogan palsu seumpama itu. Rakyat telah menolak BN. Rakyat telah menaikkan pilihan mereka iaitu Pakatan Rakyat. Kini peluang dan giliran Pakatan Rakyat iaitu gabungan PAS, PKR dan DAP. Rakyat dapat melihat sendiri apa yang mampu dibawa oleh Pakatan Rakyat dalam tempoh 22 bulan sedangkan Umno dan BN selama 50 tahun telah ternyata gagal.

Umno dan BN tidak perlu menjaja slogan kosong "Juara Rakyat" kerana rakyat Selangor tahu menilai mana yang permata dan mana yang kaca. Mana yang jujur dan mana yang palsu.

Pilihan rakyat adalah Pakatan Rakyat. Kita tidak perlukan juara, kita mahukan Pakatan Rakyat!

No comments: