Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

Friday, April 30, 2010

ISU TERKINI 29 APRIL DI MALAYSIA


Utusan Malaysia

Nasional

Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Kickdefella ,penulis blog mengakui menerima peruntukan lebih RM4 juta dalam tempoh tiga tahun bertujuan mewujudkan persepsi buruk bagi melemahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan Pas terus kekal memerintah di Kelantan.

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan cek bernilai RM3 juta bagi pembinaan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Rasa sebagai menunaikan janjinya bagi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor.

Semua pihak terutama ahli politik diminta tidak campur tangan dalam siasatan polis berhubung kes seorang remaja 15 tahun yang ditembak mati oleh anggota pihak berkuasa itu pada kelmarin, di Seksyen 11, di sini. - Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Nasional

Polis telah mengambil keterangan 10 saksi termasuk seorang saksi utama bagi membantu siasatan kes remaja 15 tahun yang ditembak mati oleh anggota pihak berkuasa itu, pada kelmarin, di Seksyen 11 di sini.

Luar Negara

Tentera Thai melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan Baju Merah ketika berlaku ketegangan di sebatang lebuh raya di pinggir utara Bangkok, hari ini.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Robert Gates semalam menuduh Iran dan Syria membekalkan roket dan peluru berpandu canggih kepada Hezbollah.Menurut Gates, kumpulan Hezbollah itu kini memiliki gedung senjata bawah tanah yang paling kukuh di rantau itu.


Berita Harian

Nasional

Kabinet melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap keluarga remaja berusia 15 tahun yang mati terkena tembakan polis dalam satu kejadian di Seksyen 11, Shah Alam, Isnin lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata Kabinet juga mahu siasatan berhubung kes berkenaan dilakukan secara telus.

PRK

Seorang lelaki dibunuh dengan anggota tubuhnya dikerat tiga bahagian sebelum disumbat dalam tiga beg plastik hitam dan dicampak di tempat pembuangan sampah di belakang sebuah pusat beli-belah Taman Perling,JB dekat sini.

Sepasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor, semalam menjalankan siasatan di beberapa kawasan tempat kejadian kes di Seksyen 11, di sini, awal pagi Isnin lalu.

Antara lokasi diperiksa pasukan Unit Forensik itu termasuk di Bulatan Kayangan dan di Jalan 11/2G, Seksyen 11.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan spekulasi mendakwa bekas Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Tun Musa Hitam memberi arahan untuk menembak dua penduduk kampung ketika peristiwa berdarah di Kampung Memali, Baling, Kedah pada 1985.

Polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meningkatkan kawalan keselamatan terhadap saksi inkues kematian Teoh Beng Hock, iaitu Pakar Patologi Forensik dari United Kingdom, Dr Peter Vanezis, yang sebelum ini mendakwa menerima e-mel berunsur ugutan yang mengancam keselamatan beliau dan keluarganya.

Sosial

Koc komuter khusus untuk wanita yang diperkenalkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang semalam, akan diperluaskan untuk laluan Rawang-Seremban bermula 15 Mei ini.

Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter, Mohd Hider Yusoff@Othman, berkata koc ‘Wanita Saja Sepanjang Masa’ bertemakan merah jambu itu diseragamkan ke semua laluan bagi memberi jaminan keselamatan dan keselesaan kepada golongan sasaran.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata Kerajaan Pas Kedah tidak perlu memohon ampun ke atas Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berikutan isu soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas yang disifatkan menghina sultan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu.

Katanya, isu itu disifatkan sudah selesai beliau sudah memperjelaskan isu berkenaan kepada Tuanku Sultan pada majlis di Pantai Merdeka, kelmarin.

Politik

Umno menasihatkan MCA supaya tidak bersikap menuding jari menyalahkan pihak lain, termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), sebagai punca pengundi Cina menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Luar Negara

China secara rasmi semalam menarik balik larangan masuk ke negara itu oleh warga asing yang menghidap Aids/HIV, dua hari sebelum ia membuka pintunya bagi pelawat dari seluruh dunia untuk mengunjungi Ekspo Dunia Shanghai.

Selain Aids, peraturan China melarang rakyat asing yang menghidap penyakit psikiatrik, kusta, penyakit jangkitan seksual, tibi atau penyakit berjangkit lain daripada memasuki negara itu.


Harakahdaily

Nasional

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berjanji membawa kes remaja mati ditembak polis ke Dewan Negara yang sedang berlangsung ketika ini melalui Senator daripada PAS.
rajaan digesa memohon maaf secara terbuka kepada keluarga arwah Aminulrasyid Hamzah, 15, ekoran kenyataan pihak polis yang mendakwa remaja adalah suspek geng samun.

Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Kementerian Dalam Negeri harus bertanggungjawab terhadap kenyataan pihak polis tersebut kerana telah mencemarkan imej mangsa dan keluarganya.

“Allahyarham (Aminulrasyid) memang baik sebab saya kawan dengan dia dari kecil. Keesokan hari sekitar jam 11 atau 12 saya dapat tahu melalui kawan saya, saya terus terduduk, terus menangis,” ujar Mohd Haikal Che Harun, 15, rakan karib Aminulrasyid.

PAS mengucapkan tahniah kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana memperkenalkan gerabak khas untuk penumpang wanita KTM Komuter.-Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

PAS akan menggerakan jentera pakarnya dari Semenanjung tanah air untuk bersama-sama jentera di Borneo bagi menggempur BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, PAS menyokong penuh pemilihan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng sebagai calon Pakatan Rakyat pada PRK itu.

Joseph Breham, salah seorang peguam Perancis yang memfailkan aduan kepada mahkamah Paris mengenai rasuah pembelian kapal selam Scorpene, kini berada di Kuala Lumpur untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai laporan rasuah dalam pembelian oleh kerajaan Malaysia itu.


Malaysiakini

Politik

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali hari ini memfailkan saman terhadap akhbar berbahasa Inggeris The Sun, ketua pengarang dan wartawan yang didakwa menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya dan Sultan Selangor.

Bekas ketua pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Nor adalah antara empat orang yang akan dilantik sebagai Senator.

Menurut The Star Online, mereka yang lain termasuk timbalan presiden MIC Datuk G Palanivel, pengerusi eksekutif firma Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan ketua Wanita Umno Pagoh, Noriah Mahat.

Exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini membuat laporan polis terhadap dua pemimpin Umno serta akhbar Utusan Malaysia yang didakwa melempar fitnah terhadapnya.

Dua pemimpin Umno itu ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Zainal Abidin Sakom.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan Utusan Malaysia sebagai berkata, khutbah yang disampaikan Hasan itu berbaur politik.

Seorang lagi penerbit televisyen - kali ini darrpada TV2, RTM mendakwa campur tangan politik dalam penerbitan dokumentarinya berhubung laporan empangan Bakun.

Rencana itu didakwa diarah tidak disiarkan kerana bimbang akan memberi kesan kepada peluang Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi parlimen Sibu pada pilihan raya kecil 18 Mei ini.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan strategi Umno menukar calon baru walaupun dari MIC untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor sebagai satu "strategi yang bijak".

Calon PKR yang tewas, Datuk Zaid Ibrahim akan memfailkan petisyen pilihan raya supaya keputusan kerusi parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu diisytiharkan sebagai tidak sah dan terbatal.

Beliau mendakwa, keputusan itu dibuat selepas mendapati jentera dan kepemimpinan BN mengamalkan rasuah melalui pelbagai janji yang dibuat untuk meraih undi rakyat.

Tuesday, January 26, 2010

PENGGUNAAN PERKATAAN ALLAH

DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG, 5 Jan 2010

Penggunaan nama Allah oleh penganut agama bukan Islam menjadi polimik dalam negara ini, setelah Mahkamah Tinggi membuat keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly pada 31 Disember 2009. Keputusan yang menyentuh perasaan umat Islam, kerana perkataan Allah sangat mulia di sisi umat Islam. Apa yang menghairankan sebelum ini pengamal ajaran Kristian, telah menyebut Tuhan dengan bahasa masing-masing. Sedangkan umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan ALLAH. Ia tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan ALLAH tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain.

Adakah ia boleh dibenarkan begitu sahaja diatas konsep kebebasan beragama? Sedangkan kebebasan secara saksama mempunyai batas sempadan supaya tidak menimbulkan masalah, yang boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Perlu difahami adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain mengikut makna perkataan Allah yang tepat dengan maksudnya dari segi bahasa Arab. Kerana perkataan Allah telah digunakan oleh umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa dengan merujuk kepada makna dan maksud perkataan Allah. Adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan Allah mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya sehingga menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya, sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini.

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut pelbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu lagi. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah: [Al-Ankabut:61]
"Dan sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?"

Firman Allah: [Al-Ankabut:63]
"Dan sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): Alhamdulillah. (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat Tauhid dan pengertian syirik)."

Firman Allah: [Luqman : 25]
"Dan sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (Wahai Muhammad: Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian- tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik)"

Firman Allah: [Al-Zumar : 38]
"Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Katakanlah (kepada mereka): Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu, atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu? Katakanlah lagi: Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri."

Firman Allah: [Al-Zukruf : 9]
"Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui."

Firman Allah: [Al-Zukruf : 87]
"Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan mereka? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah! (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?"

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang yang bukan islam yang menganut pelbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (Adanya Tuhan Pencipta Alam) sahaja, namun kepercayaan mereka tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup yang lengkap.

Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing God, Lord. Sebenarnya kalau Allah mengikut kefahaman mereka maka tidak tepat dengan maksudnya.

Kita tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah mengikut ajaran dan bahasa kita, walaupun mereka percaya kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Contohnya penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity (Tiga Tuhan) dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Suci. Manakala agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman masing-masing.

Mengikut ajaran Islam perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al Asma Al Husna). Imam Al Baihaqi menulis kitabnya (Al Asma Wa Sifat). Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak terbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu baginya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut Bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadanya.

"Perkataan ALLAH itu daripada perkataan AL-ILAH dengan menambah AL kepada perkataan asal ILAH yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan Alif dan Lam (AL) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf. Maka, disebut ALLAH. Penambahan Al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu berbilang-bilang tuhan."

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadis Rasulullah saw tanpa melarang mereka menyebut, tetapi memberi penjelasan secara ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah saw menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah: [Al-Imran:64]
"Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah. Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam."

Perutusan Rasulullah saw mendedahkan bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah. Kemudian dijelaskan dengan makna akidah yang tepat secara ajaran tauhid (mengesakan Allah) tanpa melakukan syirik, sama ada syirik itu dalam upacara ibadat dengan menyembah tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah dengan menghalalkan apa yang diharam dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan Rasul, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama untuk mengampunkan dosa manusia.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalanga mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walaupun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita Kalau mereka menggunakan perkataan Allah kepada masyarakat Islam untuk menyebarkan akidah mereka dengan fahaman mereka, dengan menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama untuk melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh diizinkan sekali-kali. Kerana ia menyalahgunakan perkataan Allah Yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam. Jika ini berlaku ia dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah dihadapan umat Islam.

Iman Ali KW, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun: "Kalimahnya benar, tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah."