Friday, February 5, 2010

Kerajaan PAKATAN RAKYAT SELANGOR: Kekal Bersih, Telus dan Amanah

Sumber: Ar-Risalah. Terbitan Lajnah Penerangan PAS Negeri Selangor. Bil. 02/10

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dianggotai PAS, PKR dan DAP terus unggul di hati rakyat di negeri ini. Rata-rata setelah hampir 2 tahun memerintah negeri ini, rakyat Selangor mengakui kemampuan dan kewibawaan pimpinan Pakatan Rakyat berbanding dengan pimpinan kerajaan dahulu yang diterajui Barisan Nasional.

Rakyat Selangor terus menuntut keteluasan, amanah dan kejujuran dari kalangan pemimpin mereka. Mereka mahu negeri ini terus maju dan dalam waktu yang sama mereka juga dipimpin oleh saf kepimpinan yang bersih dan tidak rasuah. Gejala salahguna kuasa, politik wang dan sogok-menyogok telah sekian lama mencemari udara politik di negeri Selangor. Kini di bawah kerajaan yang baru mereka mahu menghidu udara politik yang nyaman dan bersih.

Begitu juga budaya pimpinan yang tidak bermoral dan longgar akhlaknya turut dibenci oleh rakyat Selangor. menurut satu kajian yang dilakukan oleh badan bebas MERDEKA CENTRE (kajian bagi tempoh 29 Sep- 4 Okt 2009) seramai 87% rakyat menolak pimpinan politik yang terlibat dalam politik wang dan mereka tidak mahu melihat pimpinan seumpama ini menjadi calon dalam pilihanraya umum. Manakala dalam kajian yang sama 75% rakyat menolak pimpinan yang terlibat dalam sebarang bentuk skandal seks ataupun perangai yang tidak senonoh.

Ternyata dalam tempoh singkat dua tahun memerintah negeri Selangor kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim telah berjaya mengikis dan melenturkan budaya lama korupsi, kronisma dan nepotisma yang sangat jijik di mata semua rakyat di negeri ini. Budaya buruk ini telah menghantui rakyat sehingga mendorong mereka menjatuhkan kerajaan yang lalu dalam pilihanraya 2008.

Menurut kajian sebuah lagi badan bebas iaitu ZEN-TRUM FUTURE STUDIES yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah (Kajian bagi tempoh 1 April-November 2009), lebih 65% para pengundi di negeri Selangor dari pelbagai lapisan umur percaya bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat cekap dalam menangani budaya buruk ini.

Dan yang lebih penting lagi hasil kajian yang sama menunjukkan rakyat negeri ini mengiktiraf pimpinan PAS Selangor sebagai pimpinan yang terus unggul dengan kualiti kepimpinan yang amanah.

Oleh itu tidak ada sebab mengapa rakyat negeri Selangor perlu menukar kerajaan pilihan rakyat yang sedia ada. Pengalaman 50 tahun Selangor ditadbir oleh BN telah serik mengajar rakyat negeri ini bahawa rakyat tiada masa depan di bawah BN.

Rakyat Selangor kini selesa dengan gandingan PAS, PKR dan DAP yang menerajui negeri ini melalui gagasan PAKATAN RAKYAT. Rakyat Selangor InsyaAllah tegas mahukan kerajaan yang maju, bersih dan berkebajikan dan kesimpulannya kerajaan itu hanya mampu ditegakkan oleh PAKATAN RAKYAT.

Terus kekal bersama PAKATAN RAKYAT di Selangor.