Tuesday, May 10, 2011

Peluang buat Master dan PhD bagi sesiapa yang berminat atau tidak mempunyai pekerjaan tetap

KETUA EKSEKUTIF/NAIB CANSELOR IPTS


YBhg. Datuk/Dato'/Prof./Dr./Tuan/Puan,

PROGRAM MYBRAIN15

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Dimaklumkan bahawa Program MyBrain15 merupakan satu program pembiayaan bagi mencapai sasaran 60,000 orang pemegang PhD dari kalangan rakyat Malaysia menjelang tahun 2023. Program MyBrain15 terdiri daripada Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB) dan Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI) yang diteruskan daripada Rancangan Malaysia yang terdahulu dan tiga program baru di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) iaitu MyMaster, MyPhD dan PhD Industri. Tiga program baru ini mula dilaksanakan pada bulan Disember 2010,

3. Berbeza dengan program SLAB dan SLAI yang memfokuskan kepada tenaga akademik, tutor dan pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebagai kumpulan sasaran, program MyPhD dan MyMaster masing-masing merupakan pembiayaan pengajian di peringkat Ijazah PhD dan Ijazah Sarjana yang menjadikan graduan yang belum bekerja dan tidak berpendapatan tetap, kakitangan sektor swasta dan pensyarah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sebagai kumpulan sasaran.

4. Sepanjang pelaksanaan RMKe-10, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mensasarkan untuk menaja seramai 5,000 pelajar bagi melanjutkan pengajian di peringkat PhD melalui program MyPhd dan 40,000 pelajar di peringkat Sarjana di bawah program MyMaster. Bagi tahun 2011, KPT mensasarkan untuk menaja seramai 650 pelajar di bawah MyPhD dan seramai 8,000 pelajar di bawah MyMaster. Dari segi elemen pembiayaan, pelajar tajaan MyMaster adalah layak untuk menerima yuran pengajian maksimum RM10,000 bagi tempoh pembiayaan tidak melebihi 24 bulan. Manakala pelajar tajaan MyPhD pula adalah layak untuk menerima penajaan yuran pengajian maksimum RM24,000 bagi tempoh pembiayaan tidak melebihi 48 bulan. Selain itu, pelajar tajaan MyPhD kategori graduan yang belum bekerja dan tidak berpendapatan tetap juga adalah layak untuk menerima elaun sara hidup RM2,300 sebulan. Pengajian adalah secara sepenuh masa. Bagi kedua-dua program MyPhD dan MyMaster, permohonan perlu dibuat secara atas talian melalui laman web https://www.mohe.gov.my/MyBrain15 .

5. Program PhD Industri sebaliknya memberi tumpuan kepada para profesional dan pengamal industri dalam menghasilkan inovasi dan meningkatkan daya saing melalui penyelidikan berasaskan industri. Sepanjang pelaksanaan RMKe-10, KPT mensasarkan untuk menaja seramai 500 pelajar bagi program Phd Industri dan seramai 100 orang akan ditaja pada tahun 2011. KPT akan membiayai yuran pelajar yang terdiri daripada kos penyeliaan, kos pengajian, kos latihan penyeliaan, kos pemeriksaan panel dan penganugerahan ijazah maksimum sebanyak RM50,000 sepanjang tempoh pengajian. Manakala kos penyelidikan projek perlu ditanggung oleh pihak industri. Permohonan perlu dikemukakan oleh pelajar ke Bahagian Biasiswa KPT melalui industri dan universiti. Justeru, kejayaan program ini amat bergantung kepada komitmen dan kesungguhan pihak industri dan universiti.

6. Seperti yang telah dimaklumkan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi semasa merasmikan Majlis Inovasi@MOHE pada 25 April 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sehingga 25 Mac 2011, KPT baru meluluskan sebanyak 329 permohonan MyPhD, 1,755 MyMaster dan 38 PhD Industri. Sehubungan itu, Bahagian Biasiswa KPT amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk pihak YBhg. Datuk/Dato'/Prof./Dr./Tuan/Puan untuk menghebahkan program MyBrain15 kepada kumpulan sasaran. Maklumat berhubung program ini termasuk bidang-bidang tajaan, syarat permohonan dan tempat pengajian boleh didapati di laman web https://www.mohe.gov.my/MyBrain15 dan sebarang pertanyaan boleh hubungi pegawai terlibat melalui emel myphd@mohe.gov.my, mymaster@mohe.gov.my, phdindustri@mohe.gov.my atau di talian 03-88881616.

7. Segala perhatian dan kerjasama pihak YBhg. Datuk/Dato'/Prof./Dr./Tuan/Puan dalam menjayakan Program MyBrain15 amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian.


"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

Saya yang menurut perintah,





(SUHARMI BIN ISMAIL)
Bahagian Biasiswa
Kementerian Pengajian Tinggi

No comments: