Monday, March 1, 2010

Kita Semua Daripada Keturunan Yang Sama

Sumber : Telaga Budi Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Susunan oleh : Annual Bakri Haron

"Kita semua Melayu, Cina, India, orang Amerika, orang putih, orang Asli dan lain-lain adalah adik-beradik. Kita datang daripada keturunan yang satu, iaitu ayah kita bernama Adam dan ibu kita bernama Hawa. Soal berapa ribu pupu kita ini biarlah. Jika tuan-tuan kata datuk nenek kita bukan Adam dan Hawa, maka cuba beritahu saya. Jika tidak jumpa jawapan, maka terima dulu, terima yang ini dahulu."

"Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya, dan daripada keduanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak." an-Nisa: 1

Kewajaran

Jika disandarkan kata-kata Tuan Guru Nik Aziz kepada surah an-Nisa' seperti petikan di atas, dapatlah kita ertikan bahawa Allah mengajak umat Islam supaya bersatu dan terus menghormati saudara-saudaranya walaupun daripada kaum bangsa yang berbeza keturunannya. Kita semua berasal daripada keturunan yang satu iaitu manusia ciptaan Allah yang pertama yang bernama Adam serta teman kesunyiannya di syurga iaitu, Hawa dan baka asal kejadian kita adalah daripada tanah. Bermula awalan manusia inilah Allah mengembangbiakkan zuriat manusia yang ramai di muka bumi ini. Jadi bertaburan manusia yang pelbagai lapisan kelompok adalah pada hakikatnya bermula daripada kewujudan seorang manusia.

Betapa Maha Suci Allah yang menjadikan manusia hidup di muka bumi ini tanpa putus-putus keturunan sejak diturunkan manusia pertama di dunia bersama pasangannya sehinggalah berakhirnya alam fana ini. Manusia berkembang melalui masa yang panjang. Manusia bergerak bertebaran ke seluruh pelusuk alam menjangkau faktor geografi, iklim, suasana tempat sehingga melahirkan pelbagai bangsa, rupa, warna kulit, budaya, bahasa dan agama. Semua itu membuktikan tanda-tanda kekuasaan Allah sebagaimana kalam-Nya:

Maksudnya:"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, serta perbezaan bahasa dan warna kulit di kalangan kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar mengandungi hujah dan keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan." ar-Rum: 22

Di sinilah Islam menyedarkan kita betapa kita diikatkan dengan tali persaudaraan. Allah sendiri yang mengikat hati-hati manusia daripada keturunan yang satu walaupun mereka berada beribu-ribu batu jauhnya di antara satu sama lain. Menurut sebahagian daripada ayat satu surah an-Nisa' yang dipaparkan tadi, dapatlah kita fahami bahawa Islam bersifat global (al-'Alamiyah). Diingatkan bahawa Islam bukan hanya tertumpu dalam kelompok Muslim sahaja tetapi Islam mempunyai hubungan yang lebih jauh daripada itu. Sebab itulah Islam bersifat universal. Ia merangkumi hubungan umat Islam sesama Islam dan hubungan Islam dengan orang bukan Islam. Jika Islam tidak bersifat al-Alamiyah, maka sudah pasti dakwah Islam tidak akan kesampaian kepada umat Muhammad yang hidup pada hari ini serta tiada usaha dakwah kepada non-muslim yang kita sasarkan. Ini dapat dibuktikan bahawa di permulaan dakwah Islam baginda Nabi Muhammad SAW adalah mengajak orang bukan Islam kepada mengenal dan mengesakan Allah. Lantaran Islam adalah agama persaudaraan sejagat maka baginda berpegang teguh kepada konsep ini di mana Islam telah diterjemahkan sebagai agama perpaduan, agama yang menjanjikan kedamaian dan persaudaraan. Di atas dasar inilah Islam mengatur hubungan mesra antara sesama manusia, hubungan baik di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

Ketahuilah bahawa Allah menjadikan manusia yang pelbagai agama, jantina, warna kulit, bangsa, rupa dan keturunan bukanlah suatu agenda yang sia-sia. Ia untuk mengajak manusia supaya saling mengenali serta berkasih sayang sesama manusia dalam konteks hubungan kemanusiaan. Ini termaktub dengan jelas dalam kalam Allah yang cantik melalui firmanNya dalam surah al-Hujurat ayat 13:

Maksudnya: "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

Jelas Islam mengajarkan kepada umatnya bahawa manusia perlu kepada taaruf (kenal-mengenali) untuk menghubungkan hati-hati persaudaraan sesama manusia agar kita saling dihormati, mampu menghakis sikap curiga-mencurigai antara satu sama lain dan memupuk rasa sayang-menyayangi. Sikap keakuan (ananiyah) ataupun berpuak-puak (assabiyyah), wajib dijauhi kerana ia mencetus perbalahan dan perpecahan sesama saudara sepertimana berlaku dalam sejarah pada zaman Arab Jahiliyyah yang mengagung-agungkan sistem kabilah sehingga mewujudkan kesan perpecahan yang amat buruk. Kita dapati dalam situasi tersebut banyak berlakunya penindasan, kezaliman, kucar-kacir serta perbalahan yang melampaui batas norma-norma kemanusiaan. Tetapi, kedatangan Islam telah memadamkan api perkauman dan permusuhan dan digantikan dengan jalinan persaudaraan yang menjamin keharmonian, keadilan, kesamarataan. Bahkan Islam menghormati agama-agama lain.

Dalam Islam, kemuliaan sesuatu bangsa bukan berdasarkan keturunan ataupun warna kulit, tetapi dinilai dari sejauh mana ketaatan mereka kepada Allah dan sejauh mana keimanan dan ketaqwaan seseorang hamba. Inilah yang membezakan nilai seseorang sebagaimana ayat 13 tadi iaitu:

Maksudnya: "Sesungguhnya semulia-mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa."

Kekayaan, takhta, pangkat, kebijaksanaan dan kemampuan yang luar biasa dalam apa jua bidang tidak menjamin kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat bahkan tidak memberi apa-apa nilai di sisi Allah. Allah memandang seseorang hambaNya dengan taqwa yang ada padanya; itulah yang akan menjadikan kita mulia atau hina di sisiNya. Dasar taqwa yang tertanam jauh dalam jiwa umat Islam inilah yang menjadi tunjang kepada kesatuan hati-hati persaudaraan sehingga mewujudkan hubungan yang erat antara satu sama lain. Daripada titik-tolak ini agama Islam menghormati agama anutan bangsa lain dan tidak ada unsur-unsur paksaan dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup kepada golongan non-muslim. Umat Islam perlu menjaga hati, adat dan budaya yang diamalkan oleh agama lain bagi mewujudkan hubungan mesra antara satu sama lain. Ini penting dalam konteks metod dakwah agar matlamat dakwah tercapai.

Dalam membicara mengenai persaudaraan dan perpaduan ini, wajarlah kita memandang situasi yang berlaku di sekeliling kita. Kita bukan hanya hidup dengan satu agama dan satu bangsa tetapi kita mempunyai hubungan dengan orang bukan Islam. Saya tinggalkan soalan untuk kita fikirkan bersama, apakah tanggapan kita terhadap golongan seumpama ini dan apa pula pandangan mereka terhadap diri kita yang mengaku sebagai orang Islam dan bangsa Melayu ini? Adakah di fikiran kita mempunyai satu perasaan curigai bahawa golongan ini perlu kita jauhi sedangkan Islam itu agama persaudaraan. Ia bukan agama permusuhan. kita perlu menunjukkan akhlak yang mulia serta menjaga hubungan baik sesama manusia tanpa mengira agama. Cabarannya, bagaimanakah kita dapat memecahkan tembok perkauman yang tebal ini sehinggakan ia menjadi dasar pejuang kebanyakan parti-parti politik kebangsaan di negara ini. Setakat ini mereka bergerak dalam jalur-jalur kepuakan yang berasingan sehingga mencetuskan perlumbaan dan perbalahan yang tidak produktif. Ia tidak membawa kita ke mana-mana.

Di sinilah kita perlu menginsafi dengan kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Hanya dasar inilah sahaja yang akan menjamin kemaslahatan umat Islam seluruhnya akan dapat diperbetulkan. Ia bermula daripada individu itu sendiri untuk memulakan langkah bagi mengatasi permasalahan umat di dunia ini. Hal ini tidak akan tercapai sekiranya pemimpin umat Islam tidak memainkan peranan dalam mencari titik persamaan untuk menangani perkara tersebut. Seorang pemimpin Islam hendaklah menunjukkan bahawa ajaran Islam tidak membezakan status agama lain bahkan berpeluang untuk duduk semeja bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kemajuan dan kebajikan bersama. Pemimpin harus bermula dari prinsip asas yang bermula dari persamaan keturunan yakni Adam. Ini dapat kita susuri menerusi perjalanan sirah nabawiyyah ketika Nabi Muhammad SAW sampai ke Madinah. Antara perkara yang dilakukan oleh baginda ketika berada di Madinah adalah menubuhkan Piagam Madinah iaitu perlembagaan negara yang menjadi panduan dalam membentuk sebuah negara Islam. Dalam Piagam Madinah ini, terdapat hak-hak terhadap kaum bukan Islam bukan hanya setakat merangkumi hak-hak terhadap orang Islam sahaja.

Jadi, pemimpin sekarang hendaklah mencontohi akhlak dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam urusan pentadbiran sesebuah Negara. Suatu usaha murni yang telah dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan dalam menjaga hubungan baik antara kaum minoriti yang terdapat di negeri Kelantan boleh dijadikan contoh. Di sana ada kifalah, ladang rakyat, penghulu bukan Islam dan pelbagai program non diskriminasi yang lain. Beliau sentiasa mengadakan pertemuan dengan pembesar-pembesar kaum minoriti ini dalam sesuatu majlis untuk memberi penjelasan yang berkaitan dengan dasar dan perlaksanaan kerajaan negeri. Hal ini jelas menunjukkan ia adalah antara agenda dakwah kepada golongan mad’u ini dengan menunjukkan tingkah laku baik serta tanggungjawab pemimpin terhadap masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Akhlak yang dipamerkan oleh seorang pemimpin Islam seumpama ini boleh menyebabkan kaum lain tertarik dengan ajaran Islam. Melalui tingkah laku dan tindakan yang mengutamakan dasar Islam, ia satu-satunya wasilah dapat kita laksanakan supaya perpaduan antara kaum dipupuk dan disemai. Seperti contoh, subjek Bahasa Melayu dalam sukatan pelajaran. Di suatu ketika pernah ia digunakan tetapi sekarang?

Islam agama persaudaraan. Alangkah baik dan manisnya jika kita dapat berganding bahu memikul agenda yang membawa kepada kemajuan, kebajikan serta kekuatan sesebuah Negara tanpa mengira bangsa dan agama. Namun begitu, lebih indah lagilah kiranya kita dapat mengambil manfaat akan kelebihan Islam untuk mengungguli transformasi dan perubahan. Letakkan Islam di hadapan. Bangsa dan kaum itu kemudian. Bak kata-kata Menteri Besar Kelantan yang berbunyi begini:

“Orang Cina, saya sebut lebih cerdik daripada orang Melayu. Kesihatan Orang Cina lebih baik daripada orang Melayu. Kekayaan orang Cina lebih tinggi daripada orang Melayu. Orang yang begini kalau boleh bimbing Islam saya kata lebih baik.”

“Biar orang Cina (Islam) memimpin Islam di Malaysia ini, biar orang Melayu ikut. Bagi saya tidak mengapa. Bagi saya, orang Cina, orang Melayu adik-beradik semuanya, anak (Nabi) Adam semuanya. Tidak ada dalam kepala saya Cina, Melayu. Saya jalan tengok Islam, masyarakat Cina, Melayu. Cina yang mempunyai pengalaman lebih banyak daripada orang Melayu, kesihatan yang lebih baik, kekayaan dia lebih tinggi, pengalaman dia yang luas, Cina Muslimah yang memimpin Islam.”

Dengan menolak sentimen bangsa sejauh-jauh buat sementara waktu, mari kita renungi kata-kata ini secara terperinci. Renunginya dengan mendalam, menyeluruh dan kunyah sewarasnya.

No comments: